Ahmad Bashah Md Hanipah
ALOR SETAR – Kerajaan negeri berharap akan ada wakil rakyat dari kaum India dalam barisan majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 bagi mewakili kaum itu dalam menyuarakan hak dan permasalahan mereka.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata kerana kekalahan calon kaum India yang diletak pada PRU lalu menyebabkan mereka tidak dilantik mewakili kerajaan dan ia merupakan kerugian bagi kaum India.

“Kalau tiada kaum India yang mewakili dalam kerajaan, rugilah. Kita kena ada wakil kaum-kaum untuk suarakan kepentingan mereka dalam kerajaan untuk sama-sama membuat dasar atau sebarang keputusan,” katanya pada majlis jamuan dan penyampaian sumbangan sempena Deepavali, di sini hari ini.

Beliau berkata sehubungan itu sokongan kepada calon kaum India yang diletakkan bertanding pada PRU14 adalah perlu untuk memenangkan calon itu sekali gus boleh dilantik sebagai exco.

“Sebab itu kita kena bantu mana-mana calon yang kita letak sama ada kaum India atau Cina yang mewakili BN untuk bercakap bagi pihak kaum India, jadi kaum India kena tengok juga dari sudut ini,” katanya.

Sepanjang dua penggal lalu, calon kaum India yang mewakili BN gagal memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau dan Lunas yang merupakan kawasan majoriti penduduk India.

Seramai 1,000 masyarakat India dari 36 DUN menerima sumbangan sempena Deepavali yang akan disambut Rabu ini.- BERNAMA