Pengerusi Pakatan HARAPAN, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) pada Himpunan Rakyat Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi di Padang Timur, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 14 OKTOBER 2017.

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas tidak berpuas hati dengan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menurutnya menghina masyarakat Bugis semasa mengeluarkan kenyataan pada Himpunan Anti-Kleptokrasi baru-baru ini.

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

Ketuanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan bekas perdana menteri itu berfikiran tidak waras dan tidak faham tentang sejarah mengenai perjuangan masyarakat Bugis di Malaysia suatu ketika dahulu.

“Penjajah dulu memang sakit hati dengan Bugis kerana kepahlawanan mereka menentang penjajah. Penjajah lalu melabel Bugis sebagai lanun.

“Bila sebut Bugis, saya ingat ‘pahlawan’. Sampai sekarang orang baik-baik akan memanggil Bugis sebagai pahlawan. Adapun orang yang otak senget atau senget otak, mereka akan memanggil Bugis sebagai lanun Bugis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semasa berucap dalam himpunan Ahad lalu, Mahathir berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digesa pulang ke Sulawesi, tempat asal masyarakat Bugis.

Antara kenyatannya itu berbunyi: “Mungkin kerana dia (Najib Razak) berasal dari lanun Bugis. Entah macamana dia sesat sampai ke Malaysia. Pergi baliklah ke Bugis.”

Pelbagai kecaman dibuat terhadap Dr Mahathir selepas ucapannya itu, malahan tiga laporan polis sudah dibuat.

Persatuan Bugis Johor telah membuat satu laporan polis di Batu Pahat pada 3 petang semalam manakala dua laporan lagi masing-masing oleh Persatuan Bugis Kota Tinggi dan Persatuan Bugis Benut dibuat di balai berasingan hari ini. – MalaysiaGazette