Ismail Nasaruddin

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) mahu Malaysia Airlines Bhd. (MAS) berhenti daripada mengambil orang luar menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebaliknya mencari calon tempatan.

Gesaan itu dibuat susulan keputusan mengejut pengunduran Peter Bellew yang menyertai semula syarikat lamanya Ryanair selepas pengumuman di Bursa Saham London hari ini.

“Daripada awal lagi kami cadangkan supaya orang tempatan dilantik menjadi CEO, tapi pandangan kami tidak didengar.

“Sudah dua kali CEO bertukar dalam tempoh dua tahun ini, ia akan menyebabkan orang ramai tidak yakin dengan MAS selepas ini,” kata Presidennya, Ismail Nasaruddin selepas dihubungi.

Berhubung pengunduran Bellew, Ismail berkata tidak terkejut dengan langkah tersebut malah sudah menjangka ia akan berlaku dari awal lagi.

“Saya tidak terkejut, malah kami sudah jangkakan. Saya lebih kecewa dengan berita pengunduran ini, mereka senang-senang menukar CEO bersilih ganti tanpa memikirkan kesan kepada syarikat dan kakitangan dalam MAS,” ujarnya.

Menurut Ismail, ramai kakitangan dan krew anak kapal menghubunginya bertanyakan mengenai berita terbaharu tersebut dan mereka menyatakan kebimbangan mengenai nasib mereka di syarikat penerbangan negara itu.

“Ramai yang menghubungi saya dan mereka terkejut dengan keputusan itu. Tanda tanya kini apakah yang bakal terjadi kepada mereka, adakah apabila masuk CEO baharu nanti kerja mereka masih selamat.

“Mereka bimbang akan kehilangan pekerja seperti yang berlaku sebelum ini selepas CEO baharu masuk, ramai pekerja dibuang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ismail berkata NUFAM akan mengadakan sidang media bagi mengulas lanjut berhubung isu pengunduran Bellew itu.

Bellew dilantik MAS untuk menggantikan Cristoph Mueller yang berkhidmat bersama syarikat penerbangan Malaysia sebagai CEO pada Mei 2015 sebelum berhenti secara mengejut pada Jun 2016.

Kedua-dua mereka diamanahkan untuk memulihkan semula MAS selepas syarikat itu disusun semula berikutan dua nahas udara membabitkan penerbangan MH370 dan MH17 pada 2014.

Sebagai sebahagian daripada pelan menyelamat, MAS dibeli oleh Khazanah Nasional Berhad. – MalaysiaGazette