Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (tengah) menunjukkan barang-barang bukti yang digunakan anggota militan IS pada sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 17 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar sekolah tingkatan enam ditahan polis kerana disyaki menjadi perancang utama rancangan meletupan kelab hiburan dan rumah ibadat bukan Islam termasuk festival bir di ibu negara.

Suspek remaja berusia 19 tahun bersekolah di Sekolah Menengah Sri Aman, Pasir Puteh bakal menduduki Sijil Tinggi Penilaian Malaysia (STPM) pada bulan hadapan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memberitahu dua lagi suspek turut ditahan dalam serbuan pada 10 Oktober lalu di sebuah restoran di Pasir Puteh, Kelantan.

Suspek kedua yang ditahan berusia 34 tahun adalah bekas tentera dan berasal dari Kota Bharu.

Manakala suspek ketiga berusia 25 tahun, merupakan buruh binaan yang berasal dari Pengkalan Hulu, Perak.

Polis turut merampas beberapa bahan yang dipercayai untuk dijadikan bahan letupan Improvise Explosive Device (Alat letupan reka ganti – IED) dari beberapa rumah suspek.

Antara yang dirampas termasuklah beberapa batang paip, bateri AA, mentol dan wayar, mercun, bunga api, kabait, mancis, telefon bimbit serta kertas yang dipercayai mengandungi formula untuk bahan IED.

Anggota-anggota polis mengawal rapi barang-barang bukti yang digunakan anggota militan IS pada sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 17 OKTOBER 2017

Bahan letupan tersebut dipercayai mampu meledak dalam lingkungan sehingga 30 meter dan Fuzi membayangkan sekiranya letupan terjadi di festival tersebut banyak nyawa akan terkorban.

Fuzi menjelaskan sebelum melakukan tangkapan, kesemua suspek telah melakukan ujikaji letupan di kawasan lapang di belakang rumah suspek utama pada 28 September.

Dalam sidang media itu Fuzi turut menjelaskan polis kini sedang menyiasat kemungkinan kegiatan ini mempunyai kaitan dengan rangkaian pengganas lain termasuk kumpulam militan negara Islam (IS).

“Suspek dari Perak mempunyai kaitan dengan kumpulan Gagak Hitam yang terlibat dalam mengebom kelab Movida pada 28 Jun 2016 dan ada berhubung dengan kegiatan di Syria,” jelas Fuzi.

Dalam masa yang sama, Fuzi turut menyuarakan rasa dukacitanya kerana banyak dakwaan yang menyatakan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) seolah sengaja mereka alasan untuk menghalang festival bir tempoh hari.

“Apa yang saya nak jelaskan di sini bahawa kenyataan yang kita buat melarang festival bir ini ada kaitan dengan keselamatan yang serius dan menafikan tohmahan bahawa pimpinan PDRM mereka-reka maklumat palsu bagi menakut-nakutkab mereka untuk meneruskan festival,” terang Fuzi dalam sidang media di Bukit Aman. – Malaysia Gazette