Datuk Zulkarnain Mahdar
Zulkarnain Mahdar. foto FAREEZ FADZIL, 13 OKTOBER 2017
KUALA LUMPUR – Pelantikan Datuk Dr. Amin Senin sebagai Ketua Pengarah Pelajaran baharu jelas satu bukti bahawa Sabah dan Sarawak tidak pernah dipinggirkan oleh kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya Perdana Menteri cuba menghakis hak serta keistimewaan Sabah dan Sarawak jauh terpesong daripada fakta sebenar.
“Meskipun pelantikan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dibuat berdasarkan merit penjawat awam,
“Namun konsep kebersamaan yang diamalkan di antara negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dilihat sebagai salah satu faktor pelantikan ini dibuat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Mahathir mendakwa hak Sarawak terutamanya dalam soal minyak banyak dinafikan ketika pentadbiran Tun Abdul Razak Hussein dan anaknya, Perdana Menteri sekarang Datuk Seri Najib Razak.
Dr Mahathir membuat dakwaan itu dengan merujuk kepada Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang menyaksikan Sabah dan Sarawak memberikan hak petroleumnya kepada Putrajaya dengan royalti lima peratus sebagai tukaran.
Zulkarnain berkata, sebelum ini Amin merupakan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan) dan pernah menjawat beberapa jawatan termasuk Pengarah Institut Aminuddin Baki dan Timbalan Rektor Institut Pendidikan Guru.
Mengulas lanjut, Zulkarnain turut mendedahkan selama 22 tahun pentadbiran Mahathir, tiada seorang pun penjawat awam dari Sabah dan Sarawak yang dilantik menggalas jawatan tinggi dalam hierarki Kerajaan Persekutuan.
“Menteri Kanan Kabinet Persekutuan dari Sabah dan Sarawak juga tidak kelihatan sebelum ini. Konsep kebersamaan dan kesamarataan yang diamalkan oleh Datuk Seri Najib lambat laun akan dapat difahami oleh seluruh rakyat Sabah dan Sarawak.
“Slogan yang dilaungkan oleh sesetengah rakyat Sabah dan Sarawak iaitu Sabah untuk Sabah dan Sarawak untuk Sarawak akan terhakis sepenuhnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.