Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pekebun-pekebun kecil getah di negara ini akan mendapat bantuan kewangan sebanyak RM200 setiap bulan untuk tempoh tiga bulan dari November ini hingga Januari tahun depan.

Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) melibatkan peruntukan sebanyak RM261 juta itu disalurkan bagi meringankan beban pekebun-pekebun yang akan berhadapan dengan musim tengkujuh, sekali gus menyebabkan hasil torehan getah terjejas.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, kerajaan sangat prihatin terhadap nasib pekebun-pekebun getah kecil yang menghadapi masalah atau terbeban dengan bencana alam dan kejatuhan harga komoditi.

Sebagai contoh, kerajaan mewujudkan Insentif Pengeluaran Getah sebagai bantuan khas ketika harga getah jatuh di bawah paras RM2.20 sekilogram.

Katanya, jika harga getah beku di pasaran berharga RM1.80, kerajaan melalui Lembaga Getah Malaysia akan menampung 40 sen setiap kilogram yang dijual oleh pengusaha kebun getah.

“Bantuan ini untuk menggalakkan pekebun-pekebun kecil getah meneruskan aktiviti penghasilan getah walaupun harga getah rendah.

“Ini juga untuk memastikan pendapatan hasil menoreh para pekebun adalah sekurang-kurangnya RM2.20 sekilogram,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan kali ke-21 Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (NASH).

Di Malaysia terdapat lebih sejuta pekebun kecil dan 200,000 pula adalah ahli-ahli NASH.

Siew Keong berkata, pekebun-pekebun kecil komoditi menguasai hampir 40 peratus daripada jumlah keluasan tanaman sektor komoditi negara.

Seluas 2.7 hektar tanaman komoditi diusahakan oleh pekebun kecil secara terancang dan persendirian.

Tambahnya, sejumlah 1.96 juta hektar ditanam dengan kelapa sawit, 748,000 hektar ditanam getah dan selebihnya untuk koko dan lada. – MalaysiaGazette