Shiha Zikir

KUALA LUMPUR – Penyanyi versatil bervokal lunak, Shiha Zikir,  kini muncul dengan single terbaru berjudul, Jagakan Dia yang didekasikan buat kedua ibu bapanya.

Wanita berusia 29 tahun itu berkata, lagu ciptaan komposer dan penyanyi, Ippo Hafiz itu menyelami makna cinta dari sudut yang lebih luas dan tidak sekadar rasa kasih daripada seorang kekasih kepada kekasih.

“Istimewa mengenai lagu ini adalah lirik dan melodinya. Ia mengisahkan insan yang kita kasihi dan bersama kita saat susah dan senang.

“Saya dedikasikan lagu ini khusus buat emak yang bersama saya sejak dulu sampai sekarang juga untuk arwah abah yang sudah lama pergi, namun kasih sayang saya terhadapnya seinci pun tidak pernah berkurangan.

“Jagakan Dia boleh disifatkan sebagai karya yang cukup personal buat saya, kerana ini adalah pengalaman pertama kali menerbitkan lagu sendiri di bawah syarikat SZ Entertainment (Shiha Zikir Entertainment),” katanya.

Kerabat Diraja Pahang, Kolonel Tengku Datuk Seri Kamarulzaman Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Sir Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah (dua kanan) berkenan menandatangani album sebagai gimik pelancaran album baharu penyayi, Shiha Zikir (dua kiri) berjudul ‘Jagakan Dia’ sambil diiringi Presiden Airish London, Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali (kanan) dan Pengasas Airish London, Datin Jannatul Iza Ahmad Akmal (kiri) pada Majlis Pelantikan Shiha Zikir sebagai Duta Airish London di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 OKTOBER 2017

Shiha berkata demikian selepas majlis pelancaran Jagakan Dia  dan muzik video yang dirasmikan oleh Datuk Seri, Tengku Kamarulzaman Ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Al-Hajdi The Royale Chulan Hotel di sini semalam.

Pada majlis sama, Shiha turut diumumkan sebagai duta Malaysia dan Indonesia bagi jenama kecantikan berprestij, Airish London.

Sementara itu, proses rakaman Jagakan Dia diadakan sejak Julai lalu serta mendapat kerjasama daripada LMA Talent House Sdn Bhd serta Airish London yang terbabit dalam menjayakan muzik video Jagakan Dia.

Penyanyi, Shiha Zikir memakai produk Airish London pada Majlis Pelantikan Shiha Zikir sebagai Duta Airish London di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 OKTOBER 2017

Menampilkan aktor Saharul Ridzwan sebagai bintang utama, jalan ceritanya diinspirasikan dari kisah benar yang berlaku di kalangan masyarakat.

Mengulas pelantikan duta Airish London, Shiha berkata, dia sudah lama menggunakan produk tersebut sebelum.

“Sebenarnya saya sudah lama menggunakan produk ini khususnya rangkaian penjagaan kulit sebelum dilantik sebagai duta lagi. Saya memang suka dan menyakininya kerana ia sebuah produk yang berkualiti.

“Justeru apabila dilamar sebagai duta tentu saja saya berasa amat berbesar hati dan menerima tawaran ini tanpa sedikit pun keraguan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden Airish Global Sdn. Bhd., Datuk Aizuddin Mohd Ghazali dan isteri, Datin Jannatul Iza Ahmad Kamal selaku pengasas produk di atas kepercayaan untuk saya membawa nama Airish London dengan penuh rasa tanggungjawab dan mudah-mudahan dapat memberikan impak kepada jenama ini,” katanya tersenyum.

Penyanyi, Shiha Zikir menunjukkan albumnya yang terbaru berjudul ‘Jagakan Dia’ pada Majlis Pelantikan Shiha Zikir sebagai Duta Airish London di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 OKTOBER 2017

Sementara itu,  Jannatul Iza berkata, pelantikan Shiha sebagai duta ibarat jodoh yang sudah ditentukan Tuhan.

“Mungkin ramai masih ingat atau barangkali ada yang terlupa, Neelofa pernah dilantik sebagai duta produk penjagaan kulit Airish London sebelum ini.

“Sementara Shiha pula selaku duta barangan komestik keluaran kami.

“Jadinya banyak soalan nakal yang saya terima, kenapa kali ini dutanya Shiha? Barangkali pertanyaan semacam ini timbul kerana mereka mengukur populariti Neelofa sekarang sebagai artis paling berpengaruh di Malaysia.

“Jawapan saya siapa kata Shiha tidak popular? Ketika kami sudah bersedia untuk menembusi pasaran Indonesia, nama Shiha pula sedang mengharum di sana.

“Namanya menjadi bualan hangat dan lebih popular kalau nak dibandingkan di negara sendiri. Reputasinya cukup mengagumkan dan membanggakan.

“Sudah ada anak tempatan yang berwibawa jadi tidak perlulah bersusah kami melantik artis dari seberang. Melalui nama besar Shiha selaku duta kecil Malaysia, kami percaya dapat merealisasikan impian Airish London secara bersama, ” katanya. – MalaysiaGazette