Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar bercakap kepada media ketika membuat lawatan kerja ke Pangsapuri Taman Puchong Permai di Puchong, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 05 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sudah menghulurkan tangan untuk bekerjasama bagi melawan pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dakwa Tan Sri Noh Omar.

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berucap pada Himpunan Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, Terengganu. foto AFFAN FAUZI, 30SEPTEMBER 2017

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu berkata, mereka mengetahui tentang kesediaan yang dihulurkan oleh Khalid dan mengalu-alukan pertolongan tersebut sekiranya mahu memastikan Mohamed Azmin tidak lagi menjadi Menteri Besar selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

“Kita memang sudah tahu Khalid nak kerjasama dengan kita. Kita pun tak paksa. Tetapi apa dia nak bantu, dia nak pastikan menteri besar yang ada masa ini tidak jadi menteri besar,” beliau dipetik berkata dalam satu program di PPR Lembah Subang 1.

Khalid semalam berkata, beliau berhasrat untuk menyertai Barisan Nasional (BN) dan mahu bekerjasama dengan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, Tan Sri Abu Hassan Omar dan Dr Mohamad Khir Toyo dalam isu berkepentingan rakyat seperti penstrukturan semula industri air negeri.

Ketiga-tiga trio bekas menteri besar Selangor itu kini bergabung tenaga dalam usaha menawan semula Selangor daripada kerajaan PKR.

Khalid menyertai PKR pada 2000 dan menjadi menteri besar Selangor selepas Pakatan Rakyat menawan negeri itu pada PRU12, 2008.

Khalid meletakkan jawatan menteri besar pada 26 Ogos 2014 dalam krisis kepimpinan negeri itu, selepas dipecat dari PKR kerana melanggar arahan parti untuk membuka laluan kepada presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. – MalaysiaGazette