Datuk Seri Liow Tiong Lai

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai terkejut dengan tindakan Peter Bellew yang meninggalkan Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines).

Ujarnya, biarpun Bellew bertindak meninggalkan Malaysia Airlines secara mengejut, namun perkara itu tidak akan meninggalkan kesan kepada sistem pemulihan syarikat penerbangan negara.

“Pihak saya tidak dimaklumkan punca sebenar kenapa beliau bertindak sedemikian.

“Kami belum tahu siapa yang akan menjadi Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu, akan tetapi penggantinya akan tetap meneruskan transformasi Malaysia Airlines,” katanya selepas menghadirkan diri dalam sambutan Majlis Rumah Terbuka Deepavali Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI).

Tiong Lai bersama-sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan barisan Kabinet antaranya Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Said Salleh Said Keruak dan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim hadir pada majlis berkenaan.

Bellew dilaporkan akan kembali ke syarikat lamanya, Ryanair pada 1 Disember ini sebagai Ketua Pegawai Operasi susulan peletakan jawatan Michael Hickey.

Beliau dilaporkan akan bertanggungjawab terhadap operasi penerbangan, urusan ‘ground’ dan kejuruteraan selain mempunyai tanggungjawab khusus di dalam melahirkan juruterbang.

Bellew bersama Ryanair sehingga 2014 dan memegang jawatan Pengarah Operasi Penerbangan sebelum menyertai Malaysia Airlines sebagai Ketua Pegawai Operasi.

Beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines pada Julai 2016. – MalaysiaGazette.