Orang ramai yang membanjiri bazar ramadan sibuk memilih juadah untuk berbuka puasa ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pada hari pertama puasa di bazar Ramadan Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Bajet 2018 dijangka menyaksikan beberapa langkah sementara diumumkan kerajaan bagi meringankan beban kumpulan isi rumah berpendapatan pertengahan (M40) terutamanya pekerja muda dengan memberikan pengecualian cukai pendapatan untuk tahun pertama bekerja serta keperluan minimum pendapatan yang lebih tinggi sebelum dikenakan cukai.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Mohd. Najib Abdullah, langkah-langkah tersebut akan merangsang lebih banyak pendapatan boleh guna kumpulan sasar yang mana akan membantu meningkatkan penggunaan domestik di samping mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup terutama yang bekerja di bandar-bandar besar.

Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pula dijangka ditambah tahun hadapan dengan peruntukan diramalkan bertambah dari RM6.8 bilion pada tahun ini kepada RM7.5 bilion tahun depan.

“Bajet 2018 adalah berkenaan kebajikan rakyat dan dalam masa yang sama menyelesaikan cabaran-cabaran masa depan.

“Sejajar dengan cabaran semasa dan tinjauan masa hadapan ekonomi, MIDF menjangkakan Bajet 2018 akan memberi fokus kepada tiga isu utama iaitu menangani kesejahteraan rakyat serta cabaran masa hadapan serta dalam masa yang sama mengekalkan perbelanjaan berdisplin dan berhemah,” katanya.

Dengan pembangunan pesat dalam teknologi  dan platform perkongsian, kerajaan dijangka menyediakan halatuju jelas di dalam penyertaan dalam ekonomi digital, katanya.

Dalam pada itu, MIDF menjangkakan beberapa langkah akan diambil bagi merangsang aktiviti pelancongan yang dilihat sebagai sektor paling ideal untuk merangsang dan memperbaiki imbang kira-kira negara.

Langkah-langkah berkaitan pengurangan kebergantungan terhadap buruh asing turut dijangka diumumkan.

Ini menurut Mohd. Najib satu langkat perlu di dalam usaha mereka menjadikan negara berpendapatan tinggi.-MalaysiaGazette