SINGAPURA – Harga minyak naik pada hari Rabu, dipacu oleh kejatuhan inventori mentah Amerika Syarikat dan kebimbangan ketegangan di Timur Tengah mampu mengganggu bekalan.

Niaga hadapan minyak Brent, penanda aras antarabangsa bagi harga minyak, berada pada paras AS$58.27 pada 0314 GMT, naik AS$0.39 atau 0.7 peratus daripada harga penutup akhir.

Manakala niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$52.13 setong, naik AS$0.25 atau 0.5 peratus.

Peniaga berkata, carta WTI mencorak trend teknikal yang dikenali sebagai ‘Golden Cross’ semakin dekat, yang mana harga purata bergerak 50 hari meningkat lebih tinggi daripada purata bergerak 200 hari, yang dilihat sebagai penunjuk kenaikan harga.

Peniaga berkata, kenaikan harga itu juga didorong oleh kejatuhan inventori mentah Amerika Syarikat serta kebimbangan pertempuran di Iraq dan ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran boleh menjejaskan bekalan.

Inventori minyak mentah Amerika Syarikat susut sebanyak 7.1 juta tong pada minggu berakhir 13 Oktober kepada 461.4 juta tong, menurut Institut Petroleum Amerika (API) pada lewat Selasa.

“Data API dalam sekelip mata menunjukkan cabaran besar … Jika AS$52.83 di WTI dan AS$59.22 untuk Brent, ia bermakna harga minyak melangkah ke jajaran yang baharu dan jauh lebih tinggi,” kata Greg McKenna, Ketua Strategi Pasaran di AxiTrader.

Data rasmi inventori bahan api dari Agensi Maklumat Tenaga Amerika Syarikat akan dibuat kemudian pada Rabu. – MalaysiaGazette