Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR- Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed akan mengetuai misi pelaburan dan perdagangan ke Jerman, Belanda dan Belgium pada 18 hingga 20 Oktober ini.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, misi ini merupakan salah satu usaha kerajaan untuk mengukuhkan hubungan dua hala ekonomi dengan negara-negara tersebut.

Sektor yang menjadi fokus semasa misi ini adalah elektrik dan elektronik (automotif dan bahagian automasi), logistik, minyak sawit dan oleo kimia serta pembangunan dan aplikasi industri 4.0 dalam sektor pengilangan.

Seramai 37 orang terdiri daripada 10 pegawai MITI dan agensi berkaitan serta 27 ahli perniagaan daripada 14 organisasi terlibat di dalam misi ini.

Mustapa akan bertemu dengan pelbagai pemegang taruh dan pemilik perniagaan termasuk ahli dewan perniagaan dan industri serta mengadakan mesyuarat dengan ketua-ketua industri dari Jerman, Belanda dan Belgium bagi mempromosikan Malaysia sebagai rakan dagang dan pelaburan ideal untuk mereka.-MalaysiaGazette