Kelihatan empat warga asing berswafoto bagi merakam gambar kenangan mereka bagi sempena cuti umum Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 26 JUN 2017.
KUALA LUMPUR – Setiap kali musim perayaan, rakyat Malaysia akan berpusu-pusu ke ibu kota untuk mendapatkan barang keperluan sama ada pakaian mahupun makanan.
Tidak terkecuali warga asing yang bekerja di negara ini turut menyambut perayaan mereka dengan ‘menumpang’ kemeriahan rakyat di negara ini.
Bezanya mereka tidak mempunyai keluarga dan saudara-mara di Malaysia, sebaliknya kawan senegara menjadi tempat melepaskan rindu dan teman ke ibu negara setiap kali musim perayaan.
Bagi penganut agama Hindu, kebanyakan warga Bangladesh akan mula kelihatan di tengah-tengah pusat bandar untuk meraikan cuti umum di negara ini dengan keluar bersama rakan serumah ataupun setempat kerja.
Kehadiran mereka hingga mencecah ribuan orang di ibu negara bukan satu fenomena asing di negara ini bahkan saban tahun mereka secara berkumpulan akan membanjiri bandaraya ini.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati sekitar Jalan Tun Tan Siew Sin menjadi tempat berkumpul warga asing ini ekoran kebanyakan lot-lot kedai didakwa dikuasai oleh warga asing.
Temubual bersama Karim Shuib mengenai warga asing keluar bersiar-siar sempena cuti umum perayaan Deepavali di sekitar Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 18 OKTOBER 2017.
Menurut seorang pemandu teksi Karim Shuib, 60, dari Cheras, salah satu faktor pendorong warga asing memenuhi kawasan itu kerana berkunjung ke kedai-kedai warga asing dan pusat beli-belah Mydin.
“Cuti umum memang ramai datang Kuala Lumpur, tapi mereka lebih suka naik bas dan pergi beli-belah di Mydin. Apatahlah lagi bila kedai-kedai di sekitar sini dimiliki oleh warga asing dan tak hairan warga asing juga memenuhi kawasan ini.
“Walaupun cuti Hari Deepavali, polis dan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) datang memantau kawasan ini dari segi kebersihan dan keselamatan,” katanya yang ditemui MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Temubual bersama Alizar Halim mengenai warga asing keluar bersiar-siar sempena cuti umum perayaan Deepavali di sekitar Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 18 OKTOBER 2017.
Bagi seorang peniaga jalanan, Alizar Halim, 65, dari Kajang pula berkata, walaupun warga asing membanjiri ibu kota, namun jualannya tidak melonjak kerana mereka lebih gemar berjalan-jalan.
“Cuti umum pun tak banyak jualan, lepas untuk makan minum saja. Memang ramai warga asing lalu-lalang, mereka bukan beli pun, jadi nak kata bila cuti umum jualan banyak tak juga, sama seperti hari biasa,” katanya.
Temubual bersama Halim Hussin mengenai warga asing keluar bersiar-siar sempena cuti umum perayaan Deepavali di sekitar Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 18 OKTOBER 2017.
Sementara itu, Halim Hussin, 48, dari Ampang pula berkata, warga asing tidak menggunakan perkhidmatan teksi pada cuti umum atau musim perayaan, sebaliknya hari bekerja sahaja mereka diperlukan.
“Kalau cuti umum pelanggan lebih kurang daripada hari bekerja biasa. Warga asing ini hanya naik teksi bila mereka ada urusan di kaunter imigresen dan pergi klinik atau buat pemeriksaan kesihatan.
“Walaupun hari cuti mereka datang ke Kuala Lumpur, mereka naik bas, bukan beli-belah pun, mereka jalan-jalan dengan kawan-kawan mereka,” katanya.
Temubual bersama Ali Badal mengenai warga asing keluar bersiar-siar sempena cuti umum perayaan Deepavali di sekitar Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 18 OKTOBER 2017.
Bagi Ali Badal, 45, dari Seri Damansara pula, ibu negara semakin sesak dengan warga asing bila hari raya puasa dan hari krismas pada hujung tahun.
“Memang tengok ramai warga asing di sini, tapi saya sudah biasa, mereka ini berkumpul lebih ramai bila hari raya puasa dan krismas.
“Keselamatan seperti hari biasa, tiada beza, kebersihan KL tetap sama, kalau mereka buang sampah, ada pegawai DBKL memantau dan denda mereka sampai RM200,” katanya. – MalaysiaGazette.