MAZ Health & Beauty Sdn. Bhd. (MAZHAB) akan menyertai Karnival Usahawan Desa (KUD) 2017 yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini hingga 22 Oktober ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

KUALA LUMPUR – MAZ Health & Beauty Sdn. Bhd. (MAZHAB) akan menyertai Karnival Usahawan Desa (KUD) 2017 yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini hingga 22 Oktober ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

KUD bakal disertai kira-kira 700 usahawan luar bandar dari seluruh negara melibatkan enam kluster perniagaan iaitu makanan dan minuman, pertanian, gaya hidup, kesihatan dan kecantikan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), serta perkhidmatan dan pelancongan.

Pengarah Urusan MAZHAB, Ahmad Mustaqim Murad berkata, pihaknya sentiasa ternanti-nanti karnival dwitahunan itu bagi memasarkan produk atau per­khid­matan yang ada secara meluas.

“MAZHAB menyertai KUD 2017 kerana ia menjadi plat­form yang menghimpunkan produk dan perniagaan luar bandar, aktiviti perluasan rangkaian dan jaringan perniagaan serta industri penghubung (industry meet-up) bagi usahawan-usahawan luar bandar terbesar di negara ini.

“Peluang ini boleh dimanfa­atkan oleh professional usahawan yang berminat mencari peluang niaga bersama usahawan luar bandar dan menjadikan KUD 2017 sebagai sumber bagi perluasan rangkaian perniagaan mereka,” kata­nya kepada MalaysiaGazette di sini, baru-baru ini.

Ahmad Mustaqim Murad.

Pada karnival itu, MAZHAB yang ditubuhkan awal tahun ini akan memperkenalkan rangkaian produk kecantikannya berasaskan madu asli iaitu Facial Serum dan Sleeping Masque selain produk kulit iaitu Lokha Spray untuk luka dan Lokha + untuk masalah jerawat.

Ahmad Mustaqim pada masa sama berkata, pihaknya juga akan mempromosi dengan pengunjung perkhidmatan klinik homeopati bagi mereka yang memiliki masalah mental, fizikal dan spiritual.

“MAZHAN juga menawarkan servis pengeluaran produk tulen (OEM) kepada mereka yang berminat menghasilkan produk jenama sendiri dengan kos yang berpatutan kerana kami memiliki kilang sendiri berstatus Amalan Pengilangan Baik (GMP),” katanya.

Sementara itu, KUD 2017 yang dianjurkan oleh Ke­menterian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sejak 2006 antara lain bertujuan memper­kenal, mempromosi dan memperluaskan akses pasaran pro­duk atau perkhidmatan luar bandar.

KUD 2017 yang bertemakan ‘Usahawan Desa Produk Global’ memberi tumpuan khusus kepada usaha untuk melebarkan lagi akses pasaran produk atau perkhidmatan luar bandar ke bandar dan seterusnya ke luar negara.

KUD 2017 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 20 Oktober ini di Dewan Merdeka, PWTC.

Orang ramai yang berminat mengetahui lebih lanjut me­ngenai KUD 2017 boleh layari laman web www.rurallink.gov.my atau www.kud.my serta laman-laman sosial rasmi iaitu Facebook (Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), Instagram (kklw_gov) dan Twitter (kklw_gov) dengan hashtag rasmi #supportlocal. – MalaysiaGazette