Mohamad Fuzi Harun

KUALA LUMPUR – Peguam Negara telah menubuhkan pasukan petugas untuk memantau siasatan mengenai dakwaan salah laku terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, pasukan itu ditubuhkan berikutan keseriusan tuduhan yang boleh menjejaskan integriti Dzulkifli.

“Jawatankuasa ini akan memantau dengan dekat siasatan kesalahan yang dikatakan di bawah Seksye9n 498 Kanun Keseksaan dan kesalahan berkaitan lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Jabatan Peguam Negara mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan siasatan.

Jabatan Peguam Negara juga memberi jaminan akan memastikan tidak ada halangan kepada pemberi maklumat atau saksi untuk tampil membantu siasatan.

Selasa lalu, Ketua Polis Negara mengesahkan pihaknya sedang menyiasat video yang mendakwa hubungan sulit seorang pegawai kanan SPRM dengan isteri orang.

Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya sedang mengenal pasti individu yang menyebar klip video di YouTube.

Dzulkifli pula menegaskan, beliau tidak akan tunduk terhadap serangan peribadi, sebaliknya bertekad untuk terus memerangi rasuah untuk memastikan negara ini bebas daripada gejala itu dan penyalahgunaan kuasa. – MalaysiaGazette