Ahli Jawatankuasa Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Dr Riduan Mohd Nor

KUALA LUMPUR – Serangan Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan mengungkit keturunan Bugis sebagai lanun hanya memperlihatkan pemimpin Pakatan Harapan itu terdesak menjatuhkan lawannya.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Riduan Mohd. Nor berkata, tindakan bekas perdana menteri itu hanya merendahkan dirinya sendiri sebagai negarawan yang sebelum ini dihormati.

“Beliau (Tun M) memperlihatkan sikap terdesak untuk menjatuhkan Perdana Menteri sehingga menggunakan apa sahaja senjata yang ada untuk dihalakan ke atas musuh politiknya.

“Rakyat juga merasakan semua gerak langkahnya kini lebih kepada dendam peribadi kepada Perdana Menteri daripada memperjuangkan rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sabtu lepas, Mahathir ketika berucap pada Himpunan Anti Kleptrokrasi Padang Timur, Petaling Jaya menghina Najib yang berbangsa bugis dengan menggelar sebagai lanun.

Riduan juga berkata, keterlanjuran pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu hanya ‘memakan’ dirinya sendiri apabila satu demi satu laporan polis dibuat ke atasnya kerana kenyataan itu menghina pelbagai pihak.

“Silap beliau kini, bukan sahaja pelurunya tidak tepat ke sasarannya, malah tersasar dan mengena banyak pihak.

“Tiada cara bagi meredakan kemarahan banyak pihak, melainkan memohon maaf dan tidak menjadikan kenyataan itu sebagai senda gurau,” katanya.

Beliau juga berkata, insiden itu sewajarnya menjadi peringatan kepada semua ahli politik agar menjauhi sentimen perkauman, bangsa dan keturunan sekiranya mahu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.

“Politik Malaysia kelihatan hodoh apabila sentimen perkauman, keturunan dan bangsa mengambil tempat dengan tindakan ejek mengejek dan menghina antara satu sama lain.

“Rakyat melihat pemimpin kekeringan idea dalam pembangunan negara sehingga menjadikan isu peribadi termasuk keturunan sebagai bahan jenaka dan kutukan,” katanya.

Katanya lagi, penyokong dan pemimpin Pakatan Harapan dilihat bersikap double standard terhadap tindakan Mahathir itu tanpa menegur mahupun membidas kenyataan yang berbaur perkauman dan keturunan.

“Ketika Mahathir dihina oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan kenyataan perkauman, pemimpinnya bangkit menyatakan kemarahan. Ada laporan polis, ada usaha mengangkatnya sebagai usul tergempar di Parlimen, kenyataan yang mengutuk balas dan lain-lain lagi.

“Namun ketika Mahathir pula mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan menghina keturunan perdana menteri pula, mereka diam membisu,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

Comments are closed.