Shafie Apdal sah ditahan SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagi membantu siasatan salah guna dana persekutuan berjumlah RM1.5 bilion tujuan pembangunan di Sabah.

Menurut laporan Utusan Online, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan yang dibuat pada pukul 9 malam.

Sebelum itu, Mohd. Shafie selaku bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) tiba di pejabat SPRM, Kota Kinabalu, Sabah jam 5.20 petang untuk memberi keterangan berhubung siasatan berkenaan.

Mohd Shafie merupakan Menteri KKLW selama tujuh tahun itu, ketika penyelewengan dana sebanyak RM1.5 bilion didakwa berlaku.

Terdahulu, dua adik beliau, Hamid Apdal dan Yusof Apdal juga ditahan berhubung siasatan kes penyelewengan dana sama.

Sebelum ini, SPRM telah menahan tiga individu, termasuk pemimpin kanan Parti Warisan dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian di Sabah berhubung skandal sama.

Dianggarkan RM1.5 bilion diselewengkan daripada RM7.5 bilion dana awam untuk projek pembangunan luar bandar di Sabah dari 2010 hingga 2016.

Lebih 60 syarikat dikenal pasti terbabit melaksanakan projek berkenaan dan usaha mencari semua mereka yang terbabit kini giat dijalankan. – MalaysiaGazette