Marzouq Al-Ghanim

SAINT PETERSBURG, Russia – Speaker Parlimen Kuwait, Marzouq Al-Ghanim menghalau delegasi Israel daripada menyertai mesyuarat Kesatuan Antara Parlimen (IPU) yang berlangsung di sini.

Beliau berteriak kepada delegasi Israel semasa berucap dengan menggelar mereka ‘penakluk dan pembunuh kanak-kanak’ sebagai jawapan kepada penahanan rakyat Palestin di penjara Israel.

Al-Ghanim yang mengajukan ucapannya itu kepada ketua delegasi Israel berkata: “Anda penakluk, anda perlu kemaskan beg anda dan keluar daripada dewan selepas melihat reaksi parlimen dunia.

“Keluar dari dewan jika anda mempunyai maruah,” katanya seperti dipetik Egypt Today.

Kuwait Times melaporkan Al-Ghanim yang membincangkan penahanan Ahli Parlimen Palestin itu berkata, delegasi Israel ‘mewakili keganasan yang berbahaya, mencetuskan keganasan,”.

Delegasi Israel meninggalkan dewan dan beberapa wakil parlimen memberi tepukan berikutan kenyataan Speaker Parlimen Kuwait itu.

Sementara itu, Ketua Delegasi Majlis Kebangsaan Palestin pada mesyuarat IPU, Azzam Al-Ahmad berkata, kata-kata Al-Ghanim itu manzahirkan kemahuan negara-negara Arab.

“Kata-kata Al-Ghanim di hadapan delegasi memberi sinar terhadap luka yang dialami Palestin,” katanya.

Beliau menambah, kini parlimen di seluruh dunia sedar tentang kesengsaraan yang dialami Palestin dalam mempertahankan haknya bagi mengakhiri penaklukan Israel dan mewujudkan negara Palestin yang merdeka. – Agensi