Home Dunia Penumpang digigit pepijat, British Airways mohon maaf

Penumpang digigit pepijat, British Airways mohon maaf

VANCOUVER – British Airways memohon maaf kepada satu keluarga yang menjadi mangsa gigitan pepijat semasa dalam penerbangan dari Vancouver ke London pada awal Oktober lalu.

Kejadian itu berlaku semasa Heather Szilagyi, anak perempuannya, Molly, 7 dan tunangnya Eric Neilson tidur dalam pesawat.

Szilagyi berkata, beliau nampak pepijat itu berada di belakang monitor televisyen di hadapannya.

“Saya cuba tangkap tetapi terlepas. Saya nampak banyak pepijat lagi selepas itu termasuk semasa waktu makan,” katanya kepada CTV News.

Wanita itu kemudian memaklumkan kepada anak kapal dan kakitangan itu telah meminta maaf. Tetapi tindak-tanduk anak kapal selepas dimaklumkan tentang pepijat itu tidak menunjukkan dia terperanjat.

“Kakitangan itu kelihatan biasa sahaja selepas memohon maaf. Dia kata, tempat duduk semua penuh dan tidak dapat memindahkan kami,” ujar beliau.

Selepas mengharungi sembilan jam penerbangan, baru dia sedar telah digigit dengan pepijat, begitu juga dengan anaknya.

Szilagyi telah cuba menghubungi syarikat penerbangan itu untuk memastikan mereka tidak menaiki pesawat sama pada waktu balik tetapi gagal.

Namun, CTV News berkata, Szilagyi dan keluarganya diberi tempat duduk kelas perniagaan semasa penerbang pulang.

British Airways yang memohon maaf atas masalah itu berkata, ia beroperasi lebih 280,000 penerbangan setiap tahun dan gigitan pepijat semasa dalam penerbangan adalah sangat jarang. – MalaysiaGazette