Home Dunia Pyongyang minta Australia jauhkan diri dari AS

Pyongyang minta Australia jauhkan diri dari AS

Kim Jong-un dan Donald Trump

CANBERRA – Kerajaan Australia menerima surat dari Korea Utara yang mendesak Canberra untuk menjauhkan negara itu daripada pentadbiran Donald Trump.

Nota itu mengecam amaran Trump bahawa Amerika Syarikat akan menghancurkan Korea Utara jika terpaksa untuk mempertahankan dirinya.

Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull berkata, surat tersebut juga dihantar ke negara lain.

Beliau berkata, ia menunjukkan bahawa tekanan diplomatik ke atas Korea Utara berjaya walaupun dokumen itu pada dasarnya konsisten dengan retorik terdahulu.

Surat satu halaman itu dihantar melalui Kedutaan Besar Korea Utara di Indonesia dan dikaitkan dengan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negeri Pyongyang.

Ia menggesa kerajaan-kerajaan lain untuk berpaling daripada gerakan pentadbiran Trump.

Turnbull berkata, Korea Utara bertanggungjawab untuk meningkatkan ketegangan melalui ancaman peluru berpandu nuklear di Jepun dan Korea Selatan serta Amerika Syarikat.

“Mereka telah menghantar surat kepada kebanyakan negara, ia seperti surat notis,” kata Turnbull.

Menteri Luar Australia, Julie Bishop menggambarkan surat itu sebagai langkah “belum pernah terjadi sebelumnya” dari Korea Utara.

Walau bagaimanapun, kedua-duanya bersetuju bahawa tekanan global terhadap Korea Utara telah berjaya dan berharap sokongan penglibatan antarabangsa lebih lanjut.

Sabtu lalu, Pyongyang memberi amaran kepada Australia bahawa negara tersebut “tidak dapat mengelakkan daripada bencana” jika ia menentang rejim Kim Jong-un. – MalaysiaGazette