Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan hairan apabila ada pihak tertentu mendakwa PPIM mempunyai cawangan di negeri-negeri tertentu sedangkan pihaknya tidak pernah berbuat demikian.
Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan hairan apabila ada pihak tertentu mendakwa PPIM mempunyai cawangan di negeri-negeri tertentu sedangkan pihaknya tidak pernah berbuat demikian.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerima ancaman daripada sindiket perjudian yang mahu NGO itu menghentikan usaha mendedahkan operasi mereka.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, kumpulan terbabit bertindak demikian rentetan pendedahan yang dibuat oleh persatuan itu berhubung kegiatan tidak sihat tersebut yang kebanyakannya melibatkan orang Melayu.

Menurutnya, sebanyak lima kumpulan terbesar daripada sindiket perjudian terbabit telah mengadakan perjumpaan dan mereka mengadakan perbincangan ekoran marah dengan tindakan agresif PPIM selama ini.

“Mereka adakan pertemuan di beberapa negeri antaranya di Selangor, Perak dan beberapa negeri lain. Mereka kata nak ajar kami sebab banyak perkara kita campur tangan termasuk kes ah long. Mereka ini tidak senang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Nadzim berkata, PPIM sudah lali dengan ancaman-ancaman seperti itu kerana ia merupakan perkara biasa yang dialami sejak dahulu lagi.

Bukan sahaja ancaman peluru malah, pihaknya turut menerima ugutan bunuh daripada pihak-pihak tertentu sebelum ini dan ia asam garam sebagai sebuah badan aktivis yang membela nasib pengguna.

Tambah beliau, pihaknya tidak membuat laporan polis berhubung ancaman yang diterima kali ini sebaliknya akan mendepani sendiri perkara tersebut.

Ketika ditanya, bagaimana pihaknya mengetahui berhubung perjumpaan yang diadakan oleh sindiket terbabit minggu lalu, Nadzim berkata, PPIM mempunyai banyak ‘mata dan telinga’ serta sering menerima maklumat daripada sumbernya.

Dalam pada itu, Nadzim turut menggesa orang ramai agar dapat memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa agar aktiviti perjudian yang tidak sihat itu dapat dibanteras bersama. – MalaysiaGazette