Jamal Md Yunos
KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) mendengar serta menerima pandangan pimpinan di peringkat akar umbi jika mahu merampas kerusi yang tewas dalam dua pilihan raya umum sejak 2008.
Demikian kata Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos sambil menyifatkan tindakan meminggirkan suara akar umbi itu sebagai satu pengkhianatan.
“Selain kami mendengar amanat Perdana Menteri, pucuk pimpinan juga perlu mendengar suara akar umbi, pendapat dan pandangan dari peringkat bawah perlu diambil kira.
“Saya yakin dan percaya jika konsep ini dilakukan, diambil kira dalam PRU14, BN akan mendapat dua pertiga dalam pilihan raya akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita pada Taklimat Pemukiman BN PRU14 di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Beliau juga menyambut baik amanat Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu semua parti komponen mengutamakan semangat BN berbanding agenda peribadi dan berebut jawatan dalam parti.
“Kalau konsep ini dapat kita terjemahkan dalam PRU14 akan datang, tiada sebab BN akan kehilangan kerusi yang ada pada hari ini, malah boleh ditambah.
“Mesej cukup jelas yang disampaikan kepada semua yang hadir ini supaya pemimpin-pemimpin di peringkat bahagian dapat menghayati,” katanya.
Beliau juga mengingatkan pucuk pimpinan BN agar tidak mengkhianati perjuangan di peringkat bahagian dengan memilih calon yang salah.
“Kita tidak mahu ada dalam kalangan pemimpin-pemimpin di peringkat atas mengkhianati perjuangan kami di bawah ini.
“Ketika PRU13 lepas, BN kalah dan hilang banyak kerusi di Selangor kerana pucuk pimpinan parti tidak mendengar  suara pimpinan di peringkat bahagian,” tegasnya.
Katanya lagi, apabila ia tidak diterjemahkan kepada pucuk pimpinan di peringkat bahagian menyebabkan jentera yang kuat gagal memenangkan calon.
“Mereka hanya pandai bercakap, dan menyebabkan jentera yang cukup kuat dalam kalangan parti di bawah ini hancur lebur.
“Orang yang layak menjadi calon tetapi tidak dapat menjadi calon dan akhirnya jentera di bahagian lumpuh,” katanya. – MalaysiaGazette