Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar
KUALA LUMPUR – Jangan kekalkan status quo kerusi tradisi parti komponen Barisan Nasional (BN) jika mahu kekal berkuasa dan menambah majoriti kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), demikian kata Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar.
 
Beliau menyambut baik amanat Presiden BN, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu parti komponen perlu lebih bertoleransi dalam soal kuota kerusi yang ditandingi dengan satu matlamat untuk memenangi pilihan raya akan datang.
“Dalam kita nak memenangi pilihan raya, parti-parti komponen kena ada tolenrasi di mana kita tak boleh bertanding kerana prinsip satu-satu kaum tetapi mesti ada semangat BN.
“Untuk mencapai matlamat tersebut, parti-parti komponen jangan lagi mengekalkan status quo.
“Kalau dulunya kerusi ini parti A punya, ia tidak akan kekal sampai bila-bila, ia kena berubah dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui pemberita pada Taklimat Pemukiman Jentera BN PRU14 di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.
Beliau berkata, sudah sampai masanya status quo kerusi bagi semua parti komponen diubah suai dengan mengutamakan potensi boleh menang berbanding mengekalkan kerusi tradisi untuk memenangi PRU14.
“Kedudukan kerusi ini bukan lagi hak milik sesuatu parti tetapi kita kena melihat sama ada kerusi itu boleh menang atau tidak serta boleh diterima rakyat atau tidak.
“Konsepnya untuk menang pilhan raya ini kita mesti ada semangat BN kita kena bahagi kuasa dan berkongsi kuasa untuk menang pilihan raya ini.
“Dalam BN kita tiada kekuatan kalau masih menegakkan hanya parti masing-masing, bagi saya mulai sekarang, jangan pakai lambang parti masing-masing, lebih-lebih lagi bila pilihan raya nanti,” katanya. – MalaysiaGazatte