GEORGE TOWN – Satu siasatan penuh akan dijalankan kerajaan negeri berhubung kejadian tanah runtuh di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini yang melibatkan 14 pekerja binaan tertimbus.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, kejadian itu adalah serius kerana ia melibatkan nyawa dan setakat ini tiga mayat telah ditemui manakala 10 yang lain masih tertimbus dan seorang berjaya diselamatkan.

“Saya berasa sangat terkejut dengan tragedi yang berlaku. Satu siasatan macam mana kemalangan boleh berlaku di tapak kerja akan dibuat, satu siasatan penuh negeri,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Dalam kejadian yang dilapor pada pukul 8.57 pagi tadi, 14 orang tertimbus apabila tanah berhampiran tapak pembinaan satu blok rumah mampu milik 50 tingkat yang dibina pemaju swasta runtuh dan menimpa pekerja binaan yang sedang bekerja.

Lim berkata, perkara itu akan dibincang pada mesyuarat exco minggu depan.

Beliau berkata, kejadian itu adalah satu kemalangan di tempat kerja yang memerlukan jawapan yang memuaskan dan perlu diserahkan kepada pakar untuk menyiasat punca sebenar kejadian.

“Kerajaan negeri akan memberi apa-apa sumber yang diperlukan untuk membantu. Buat masa ini kita hanya boleh berdoa harap ada keajaiban, harap kerja-kerja mencari dan menyelamat dapat diselesaikan,” katanya.

Lim berkata, berikutan kejadian itu beliau telah mengarahkan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Datuk Maimunah Mohd Sharif untuk menjalankan siasatan di semua projek pembinaan di negeri ini bagi memastikan keselamatan pekerja dan kejadian sama tidak berulang. – Bernama