Orang ramai memeriksa lokasi serangan di sebuah masjid Syiah di Kabul, Afghanistan. - Foto oleh CNN

KABUL – Seramai 60 orang terbunuh, manakala berpuluh-puluh lagi cedera parah dalam dua serangan berasingan ke atas dua masjid di Afghanistan, semalam.

Dalam satu serangan, pengebom berani mati menyasarkan pengunjung di sebuah masjid Syiah di Kabul, kata polis, lapor agensi berita CNN.

Seorang lelaki memasuki sebuah masjid di Kabul dan meletupkan jaket berisi bahan letupan yang dipakainya, kata Ketua Cawangan Jenayah Polis Kabul, Jeneral Mohammad Salim Almas.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Najib Danish berkata, 39 maut dan 45 lagi cedera dalam serangan itu, tetapi jumlah sebenar tidak dipastikan.

Penyerang dikatakan memasuki masjid sebelum meletupkan bom yang dibawanya.

Kira-kira 30 mayat dibawa keluar dari masjid itu.

Dalam serangan ke atas sebuah masjid Ahli Sunnah Wal Jamaah di wilayah Ghor, Masjid Imam Zaman di Dashti Barch, Kementerian Dalam Negeri Afghanistan pula melaporkan sekurang-kurangnya 30 maut dan lebih 45 lagi cedera.

Jurucakap polis wilayah itu, Mohammad Iqbal Nezami berkata, 33 jemaah yang sedang menunaikan solat terbunuh dalam serangan yang disifatkan menyasarkan komander tempatan.

Serangan itu dikatakan menyasarkan Abdul Ahed, bekas komander kumpulan pejuang dan pemimpin Parti Jamiat yang memihak kepada kerajaan.

Abdul Ahed turut terbunuh bersama tujuh pengawal peribadinya. – MalaysiaGazette