KOTA KINABALU – Jumlah mangsa banjir di Kota Belud meningkat kepada 1,824 orang tengah hari ini berbanding 1,729 pagi tadi.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah dalam kenyataan berkata, mangsa ditempatkan di lapan pusat pemindahan banjir iaitu Dewan Masyarakat Tun Said, Dewan SMK Agama Tun Said, SMK Taun Gusi 1, SMK Taun Gusi 2, Dewan Gopok Taginambur, Dewan Muhibbah Tombol, Dewan SK Pekan dan Dewan SK Taun Gusi.

Bacaan paras air di dua daripada tiga sungai utama daerah itu tidak berubah dan masih pada paras bahaya sejak pagi tadi iaitu Sungai Tempasuk (5.46m) dan Sungai Abai (5.7m), manakala bacaan paras air di Sungai Kadamaian ialah pada paras normal.

Jumlah kampung yang terjejas turut meningkat daripada 24 kepada 26, bagaimanapun kekal lapan jalan raya yang masih tidak dapat dilalui kenderaan. – Bernama