HM Das’at Latief

KUALA LUMPUR – Seorang penceramah bebas di Indonesia membuat kejutan dengan mendakwa lelaki kaya yang tidak berpoligami akan menjadi penghuni neraka.

Penceramah yang dikenali sebagai HM Das’at Latief itu mendakwa, satu rahsia yang harus diketahui mengenai poligami ialah sesiapa yang mampu tetapi tidak melakukannya kelak akan masuk neraka.

“Kenapa? (masuk neraka) kerana lelaki kaya itu hanya mempunyai seorang isteri,” katanya melalui sebuah program ceramah agama dan rakamannya tular di media sosial baru-baru ini.

Menurut HM Das’at, kebanyakan individu yang ditanyakan soalan itu apabila masuk ke syurga juga akan ditanya sekali lagi oleh malaikat.

“Nanti di akhirat kamu akan ditanya malaikat berapa rumahmu? Berapa keretamu? Berapa kali kamu naik haji? Tiap tahun melaksanakan umrah dan ketika kamu hidup di dunia zakat dan sedekahmu dipertanyakan,” katanya.

Menurutnya, antara soalan yang akan ditanya adalah kemewahan yang dimiliki di dunia, sedangkan isterinya hanya seorang.

Kata penceramah itu lagi, disebabkan itu, sesiapa yang berada dalam kategori itu tetapi tidak berpoligami akan dimasukkan ke neraka kerana mereka dikatakan tidak berkahwin kerana takut kepada isteri, bukan takut kepada Allah.

“Kamu lebih takut kepada isteri daripada Tuhan?” soal Das’at.

Bagaimanapun ramai netizen menganggap kenyataan Das’at itu hanya seloroh namun pendakwah itu semasa rakaman tidak mengatakan dirinya bergurau.

Sementara itu, seorang lagi penceramah bebas dalam program sama memberitahu, umat Islam dilarang menggunakan telefon bimbit atau gajet untuk bermain permainan seperti Snakes and Ladders.

Menurut ustaz yang tidak dinamakan itu, bermain permainan video adalah tidak dibenarkan sama sekali, bahkan hukumnya adalah haram.

“Permainan dam, catur, Snake and Ladders semua tak boleh,” katanya. – MalaysiaGazette