Bibi Ramjani Illias Khan

KOTA BHARU – Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan mendedahkan beliau meminati pasukan Manchester United (MU) kerana Cristiano Ronaldo.

Perkara tersebut didedahkan beliau ketika satu sesi Facebook live bersama sebuah portal milik akhbar tempatan, Utusan Online di sini hari ini sehingga menimbulkan persoalan sama ada beliau sedar atau tidak Ronaldo sudah tidak beraksi bersama Manchester United lagi sehingga dibetulkan oleh pengacara temubual itu.

Dalam temu bual itu juga, beliau yang lebih mesra dikenali dengan panggilan Kak B dalam temubual tersebut berkata, Ronaldo menjadi pilihannya kerana penampilannya.

“Team yang saya minat ialah MU (Manchester United). Saya pilih MU kerana pemainnya, Ronaldo.

“Saya pilih Ronaldo kerana penampilannya. Handsome, Kak B sendiri pun kalau nak pilih pemain akan pilih yang handsome,” katanya sambil ketawa.

Kata Bibi Ramjani berkata, selepas sebulan menerajui KAFA, beliau tidak merasa kekok biarpun mula dikenali ramai.

“Jadi diri kita sendiri, luaran dan dalaman.

“Saya tidak ada masalah untuk menguruskan KAFA kerana keluarga memahami dan sudah biasa dengan kehidupan begini ketika menguruskan bisnes,” katanya.