Erra Fazira

SHAH ALAM – “Alhamdulillah sebagai artis dia juga faham apabila timbul perkara begini,” demikian ulas Shahir atau Shahir Zawawi mengenai penerimaan buah hatinya, Erra Fazira berkenaan kontroversi dia dengan wanita bernama Mona.

“Saya masih Shahir yang sama, jadi tetap berhasrat untuk melamar Erra,” jelasnya ketika ditemui media sejurus berakhir program realiti Akademi Fantasia (AF) Megastar malam tadi.

Shahir yang merupakan bekas pemenang AF musim kelapan menganggap gosip dia bersama Mona atau Mona Syamimi Mohd Samsudin adalah asam garam dunia seni.

“Ini bukan kali pertama saya berdepan dengan gosip sebegini, jadi saya tak terkesan apabila timbul perkara ini.

“Rasanya tidak perlu untuk saya menghubungi dia (Mona) kerana minggu ini saya terikat dengan komitmen minggu akhir menjelang AF Megastar,” jelas bintang yang pernah membintangi filem Karak itu lagi.

Terdahulu, foto mereka berdua tersebar di media sosial sebelum Shahir menafikan hubungan mereka.

Bagaimanapun Mona mencetuskan kontroversi dengan menyatakan hubungannya dan Shahir lebih daripada artis dan peminat. – MalaysiaGazette