LIVERPOOL CITY – Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp mengakui sukar untuk merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas The Reds terus mempamerkan permulaan buruk dengan kekalahan 1-4 kepada Tottenham Hotspur di Wembley, awal pagi tadi.

Kekalahan itu menyaksikan Liverpool bolos 16 gol dalam sembilan perlawanan yang juga merupakan rekod pertahanan terburuk mereka sejak tahun 1964.

“Jangan mimpi kita mampu merebut kejuaraan EPL musim ini kalau begini keputusan yang kita peroleh,” demikian luah Klopp sebagai reaksi terhadap persembahan anak buahnya.

Klopp turut berharap agar pasukannya berjaya mengubah corak persembahan sekiranya mahu mengejar pasukan lain pada saingan liga tersebut.

“Tidak payah cakap tentang kelompok empat teratas sekarang. Kami di tangga kesembilan. Ia rekod terburuk sejak 1964.

“Sukar untuk mempercayainya tapi kami memang layak berada di situ,” kata pengendali dari Jerman itu selepas Liverpool yang kini ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu, Manchester City. -MalaysiaGazette