Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tertarik melihat model keretapi laju yang pamerkan pada Simposium dan Pameran Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 23 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Kesesakan lalu lintas dalam bandar berjaya dikurangkan sejak perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) yang beroperasi sejak Julai lalu, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, sambutan orang ramai terhadap perkhidmatan MRT  menggalakkan dan bagi tempoh Julai sehingga Ogos, jumlah pengguna perkhidmatan tren itu mencecah 800,000 penumpang setiap minggu.

Hampir sejuta penumpang pula dicatatkan semasa minggu cuti umum pada 27 Ogos hingga 3 September lalu.

“Dengan kapasiti mampu membawa 400,000 penumpang sehari, kita yakin angka ini akan meningkat kerana sudah pasti orang ramai akan beralih mengggunakan MRT untuk kegunaan harian mereka,” kata beliau semasa ucaptama Simposium Tahunan Pengangkutan Awam Darat 2017 di sini petang tadi.

Mengambilkira jumlah penggunaan MRT yang tinggi dalam kalangan orang ramai, Najib berkata, banyak laporan diterimanya mengatakan kesesakan berjaya dikurangkan sejak pengenalan MRT dimana hampir 40,000 kereta berjaya dikurangkan atas jalan raya setiap hari.

“Malahan sekarang ini, saya ada menerima laporan daripada orang ramai yang mengatakan mereka mendapati kesesakan lalu lintas semakin berkurangan sejak pengenalan MRT,” katanya lagi.

Selain mengurangkan kesesakan, Najib juga berkata, pengenalan MRT juga dapat mengurangkan pencemaran gas karbon yang dihasilkan daripada kenderaan yang digunakan.

“Dengan mengurangkan kesesakan, ia akan memberi laluan kepada persekitaran yang lebih hijau dan mengurangkan gas karbon di Kuala Lumpur,” ujarnya.

Dalm pada itu, Najib juga turut melahirkan rasa gembira apabila satu kajian yang dijalankan mendapati orang ramai berpuas hati dengan sistem pengangkutan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan.

“Maklum balas daripada pengguna komuter juga positif, ini boleh dilihat dalam Indeks Kepuasan Pengguna 2016, sebuah kaji selidik bebas yang dijalankan oleh SPAD yang menunjukkan 84 peratus responden berpuas hatindengan pengangkutan awam bandar, peningkatan 10 peratus berbanding 2015.

“Ini menunjukkan kerajaan berada pada landasan yang tepat dalam merancang dan melaksanakan inisiatif bawah Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat Negara,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette