KUANTAN – “Ini juga adalah rezeki saya dan juga bayi di dalam kandungan saya, rezeki yang datang dalam pelbagai cara yang berbeza.”

Itu antara kenyataan penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza menerusi akaun Instagram setelah dikurniakan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang memberi gelaran Datuk Seri.

Kurniaan darjah itu disempurnakan sempena Majlis Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Balairong Seri Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang pagi tadi.

“Alhamdulillah, patik menjunjung kasih di atas pengurniaan darjah kebesaran ini.

“Ini merupakan satu penghormatan kepada saya. Ini bukan saja penghargaan kepada diri saya seorang tetapi mewakili insan seni yang lain kerana saya yakin, setiap masyarakat mempunyai sumbangan dan peranan tersendiri.

“Alhamdulillah, saya menerima gelaran ini pada usia 21 tahun saya di dalam bidang seni dan penghormatan ini adalah salah satu daripada pencapaian yang mempunyai sejarah tersendiri di dalam karier saya,” tulisnya.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan mengurniakan darjah dan pingat kebesaran itu kepada 101 penerima.

Terdahulu penyanyi lagu Cindai dan Nian Di Hati pernah dikurniakan penganugerahan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) daripada Sultan Pahang yang membawa gelaran Datuk pada tahun 2006 – MalaysiaGazette.

Kongsi

Tinggalkan Jawapan