Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh (kanan) diiringi Naib Canselor UPM, Datin Aini Ideris (tengah) melakukan gimik Pelancaran e-Portfolio Mahasiswa Peringkat Nasional di Universiti Putra Malaysia, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 26 OKTOBER 2017.

SERDANG – Graduan universiti tidak perlu lagi menjalani temuduga bagi mendapatkan pekerjaan.

Melalui pelancaran E-Portfolio Mahasiswa Peringkat Nasional (My E-Portfolio) majikan yang berminat boleh menilai kemahiran dan kebolehan pelajar dan graduan melalui refleksi, pengalaman, bakat dan pembelajaran mereka.

“Ini selaras dengan iCGPA (pentaksiran purata nilai gred kumulatif bersepadu), di mana kita menilai pelajar dengan cara yang lebih holistik.

“Kita harap dengan adanya peluang ini pelajar mudah dihubungi majikan, secara tak langsung pelajar juga dapat mempelajari teknologi terkini dalam industri 4.0 yang menggunakan teknik digital, virtual realiti dan pelbagai lagi yang membolehkan mereka mempamerkan kemampuan mereka,” ujar Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau yang ditemui selepas pelancaran My E-Portfolio di Universiti Putra Malaysia (UPM) memberitahu selain projek ini turut dirintis empat universiti lain iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

My E-Portfolio merupakan pengganti kepada resume yang mana pelajar akan menghasilkan video keterangan diri mereka dengan memuatkan elemen teks, fail elektronik, imej, blog dan hyperlinks.

Buat masa setiap pusat data disediakan universiti masing-masing dan akan diintegrasikan kepada semua universiti pada masa akan datang. – Malaysia Gazette

Kongsi

Tinggalkan Jawapan