Orang ramai tidak melepaskan peluang menonton pengumuman Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di salah sebuah kedai elektrik di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Bayaran khas sebanyak RM1,500 diberikan kepada semua penjawat awam.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pembayaran akan dibuat dua kali iaitu sebanyak RM1,000 pada awal Januari 2018 dan baki RM500 lagi akan dibayar menjelang Hari Raya Aidil Fitri tahun hadapan.

Katanya, kepada pesara kerajaan, bayaran khas sebanyak RM750 iaitu RM500 dibayar pada Januari 2018, dan RM250 lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Lalu, syukur setingginya dipanjatkan ke hadrat Allah Hu Taala, kerana berkat kegigihan usaha kerajaan selama ini, dikurniakan hasil bagi dituai dan dinikmati oleh rakyat Malaysia sekalian.

“Kepada penjawat awam, yang dinanti-nanti telah pun menjelma.

“Bagi menyanjung tinggi sifat wala’ dan kesetiaan tuan-tuan dan puan-puan, dalam mendokong kemajuan negara serta melaksanakan sistem penyampaian perkhidmatan dengan cekap lagi berkesan kepada rakyat,… maka sukacitanya saya mengumumkan bayaran khas sebanyak RM1,500 kepada semua penjawat awam,” katanya semasa membentangkan Bajet 2018 di Parlimen di sini hari ini. – MalaysiaGazette