Reaksi ceria Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sambil membawa beg yang berisi buku teks ucapan Bajet 2018 untuk dibentangkan di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 27 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Bajet 2018 masih memperuntukkan RM3.9 bilion untuk subsidi barangan dan pengangkutan termasuk gas memasak, tepung, minyak masak, subsidi elektrik dan tol.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Kedai Rakyat 1Malaysia akan distruktur semula sebagai KR1M 2.0.

“Sebagai permulaan pada 2018, 50 kedai akan dijadikan KR1M 2.0 dan diperluas kepada 3,000 dalam tempoh tiga tahun.

“KR1M 2.0 akan menyediakan lima barang keperluan asas dengan harga rendah iaitu beras, gula, minyak masak, tepung dan gas memasak.

“Di samping itu, 50 jenis barangan pengguna berjenama dijual pada harga lebih rendah daripada pasaran,” jelasnya semasa membentangkan Bajet 2018 di Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, Najib turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM80 juta bagi meneruskan Program Penyeragaman Harga Barang Keperluan Asas di Sabah dan Sarawak.

Dengan peruntukan sebanyak RM20 juta, kerajaan katanya akan membangunkan Agrobazaar Malaysia bagi menyediakan ruang pasaran dan pusat jualan agro makanan dengan harga yang lebih rendah dimulakan di Putrajaya.

Kementerian Pertanian, Industri dan Asas Tani akan melaksanakan program melalui FAMA dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dengan peruntukan RM50 juta.

Ini bagi membolehkan pengguna memperolehi stok barang makanan seperti ikan, sayur, ayam dan telur pada harga berpatutan.

Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan akan meneruskan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang telah memanfaatkan 7 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM6.8 bilion.

Penerima akan terus mendapat bantuan pada kadar maksimum sebanyak RM1,200 pada 2018. – MalaysiaGazette