Tan Sri Noh Omar.

KUALA LUMPUR – Pengumuman bagi memansuhkan Tol Sungai Rasah dan Tol Batu Tiga menerusi pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini bakal mengurangkan kesesakan melampau di kedua-dua tol berkenaan.

Menurut Pengerusi Barisan Nasional Selangor, Tan Sri Noh Omar, selain mengurangkan kesesakan, langkah memansuhkan tol tersebut juga akan mengurangkan beban pengguna jalan raya, terutama yang menggunakan laluan tersebut.

“Apabila diumumkan kedua-dua tol di Selangor ini dimansuhkan, ianya bukan saja boleh meringankan beban rakyat membayar tol, malah boleh juga memberikan laluan di Lebuhraya Persekutuan ini lebih lancar.

“Sebagai menteri KPKT, saya juga agak terkejut apabila masalah-masalah perumahan. Dalam satu konvensyen misalnya, ada pihak yang meminta supaya GST kepada pengurusan JAP dalam sektor perumahan dimansuhkan. Dan hari ini telah diumumkan bahawa jawatankuasa penyelenggaraan rumah serata dalam negara kita dikecualikan daripada bayaran GST. Ini satu usul yang kita buat dua minggu lepas tetapi telah mendapat perhatian daripada PM,” katanya.

Noh, ketika ditemui pemberita di lobi parlimen, turut membidas kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.

Terdahulu, Azmin menganggap bajet 2018 yang dibentang oleh Najib merupakan bajet tiruan daripada bajet negeri itu.

“Apa yang lebihnya Selangor? Apa sumbangan kerajaan Selangor kepada rakyat? Kita kena ingat, pembangunan infrastruktur di Selangor ini semuanya dariapda kerajaan persekutuan.

“Kita buat KLIA contohnya, ada dua kita buat di Selangor, begitu juga dengan lebuhraya, MRT dan sebagainya, Kerajaan persekutuan yang buat. Jadi, tidak ada perkara yang boleh dibanggakan oleh Azmin yang kononnya kita tiru daripada Selangor.” – MalaysiaGazette