Orang ramai tidak melepaskan peluang menonton pengumuman Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di salah sebuah kedai elektrik di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Sejumlah RM6 bilion dalam Bajet 2018 diperuntukkan untuk memperkasa bumiputera melalui dasar Transformasi Kesejahteraan Bumiputera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.4 bilion bagi membantu Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencapai sasaran 250,000 pelajar menjelang 2020.

Selain itu, UiTM turut menerima peruntukan tertinggi yang pernah diberikan untuk biasiswa pengajian tinggi dan latihan di bawah MARA sebanyak RM2.5 bilion.

Ini memanfaatkan hampir 90,000 pelajar termasuk 1,500 pelajar dalam bidang kritikal seperti artificial intelligence, signalling dan rel.

Sejumlah RM90 juta diperuntukkan kepada Program Peneraju Profesional, Skil dan Tunas yang memanfaatkan hampir 8,000 orang manakala RM200 juta diperuntukkan untuk MARA Graduate Employability Training Schemes (GETS).

Dalam pada itu, RM555 juta diperuntukkan untuk Program Peningkatan Keusahawanan Bumiputera yang mana RM200 juta bagi Program Keusahawanan dan Premis Perniagaan PUNB, RM200 juta untuk Program Pembangunan Keusahawanan MARA dan RM155 juta untuk program pembangunan kapasiti vendor, Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (Superb) dan Skim Anjakan Usahawan.

“Semenjak tahun 2009, pelbagai inisiatif besar bagi memperkasakan ekonomi Bumiputera telah dan sedang dilaksanakan.

“Contohnya, inisiatif Carve Out and Compete bagi Bumiputera, telah mencapai nilai kontrak lebih RM61 bilion .

“Juga, RM1.7 bilion Dana Mudahcara telah diluluskan kepada 515 projek, menyediakan lebih 44,000 peluang pekerjaan.

“Apa yang membanggakan, program ini telah membuktikan bahawa, kontraktor-kontraktor Bumiputera semakin berdaya saing dan 47 berkeupayaan, malah mampu menyiapkan projek lebih awal dari jadual, tanpa menjejaskan kualiti,” katanya.

Tambah Najib, bagi meningkatkan ekuiti dan pelaburan dalam sektor strategik, RM150 juta diperuntukkan kepada Pelaburan Hartanah Bhd. dan RM150 juta kepada Ekuinas. – MalaysiaGazette