Abdul Wahid Omar

KUALA LUMPUR – Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) akan mula dilaksanakan pada 1 Januari 2018.

Melalui ADAM50, kesemua bayi warganegara Malaysia yang dilahirkan bermula pada 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2022 akan menerima unit insentif percuma sebanyak 200 unit, yang akan dikreditkan secara automatik selepas proses pendaftaran dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga mereka ke dalam tabung unit amanah kendalian Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

ASNB adalah anak syarikat milik penuh PNB. ADAM50 ini melibatkan dua tabung iaitu Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi bayi Bumiputera dan Amanah Saham 1Malaysia (AS1Malaysia) bagi bayi bukan Bumiputera.

Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, PNB amat berbesar hati kerana diberi peluang untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha menggalakkan budaya menabung dan pelaburan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sebelum ini, dana-dana unit amanah ASNB sememangnya dibuka untuk individu seawal usia enam bulan tetapi kini dengan ADAM50, setiap bayi Malaysia yang lahir dalam tahun 2018-2022
akan memiliki satu akaun dengan unit insentif permulaan daripada kerajaan dan PNB.

Sebanyak 200 unit insentif dan semua dividen yang diperolehi bagi jumlah permulaan ini hanya boleh dikeluarkan setelah anak mencapai usia 18 tahun.

Di samping itu, sebagai salah satu usaha untuk menggalakkan pelaburan tambahan ke dalam akaun bayi tersebut, ibu bapa atau penjaga boleh membuat pelaburan tambahan ke dalam akaun AS1Malaysia bagi bayi bukan Bumiputera sehingga had maksimum 50,000 unit.

Bagi bayi Bumiputera pula, PNB bercadang untuk meningkatkan had pelaburan Akaun Remaja ASB daripada 50,000 unit kepada 200,000 unit, tertakluk kepada keperluan pematuhan.

Abdul Wahid berkata, kos keseluruhan ADAM50 yang akan dilaksanakan selama lima tahun bermula 2018 sehingga 2022 ini dianggar mencecah RM560 juta dan akan memanfaatkan kira-kira 2.8 juta bayi Malaysia. – MalaysiaGazette