Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Noor Azlan Ghazali (tengah) bercakap pada sidang media analisa bajet 2018 di UKM, Bangi. foto FAREEZ FADZIL, 28 OKTOBER 2017.

BANGI – Bajet 2018 layak digelar “Ibu Segala Bajet” kerana ia mempunyai pendekatan yang berbeza berbanding bajet-bajet sebelum ini.

Sekumpulan cendekiawan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyifatkan bajet kali lebih holistik dan inklusif dengan mendengar keluhan rakyat dari akar umbi serta memberi cadangan kepada mereka untuk mencari jalan penyelesaiannya.

Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Noor Azlan Ghazali berkata, semua isu ditangani mengikut kesesuaian namun tiada satu pun diabaikan dan apa yang penting menurut beliau, Bajet 2018 turut memberi fokus kepada isu kekeluargaan atau family-centered.

Selain meneruskan pemberian tunai menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), kerajaan melalui Bajet 2018 menyediakan pelbagai peluang untuk rakyat meningkatkan taraf hidup dengan menambah pendapatan mereka.

Ini disalurkan melalui pelbagai insentif terutamanya dalam bidang keusahawanan dan kemahiran.

Malah, golongan pelajar juga diberi galakan untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang keusahawanan apabila pelbagai bantuan diberikan supaya mereka tidak lagi hanya terkepung dalam minda menjadi siswazah makan gaji, sebaliknya berani untuk menceburi bidang perniagaan atau bekerja sendiri.

“Pokok pangkal sesuatu masalah sosial di negara ini berpunca daripada keluarga.

“Kita lihat semasa membentangkan Bajet 2018, Perdana Menteri sememangnya memberi fokus kepada penyelesaian isu isi rumah dan kekeluargaan. Ini sebenarnya mampu mengurangkan isu sosial pada masa hadapan.

“Dalam isu kewangan terdapat penyelesaian dari segi peningkatan kemahiran dan keusahawanan, pelepasan cukai pendapatan kepada 261,000 pembayar cukai serta pengurangan kadar cukai pendapatan mengikut banjaran yang telah ditetapkan dan sebagainya.

“Memang subsidi sudah dirasionalisasikan tetapi apa yang berlaku adalah mereka yang layak menerima subsidi akan menerima lebih banyak manakala yang tidak layak, subsidi mereka ditarik balik. Ini berbeza dengan sistem dahulu yang mana semua orang menikmati subsidi.

“Pemberian BR1M pula memang diteruskan tetapi saya percaya kerajaan juga tidak mahu ianya selamanya begitu jadi kerajaan telah menyediakan persiapan supaya golongan ini dapat keluar daripada senarai penerima dengan memberi penekanan mengenai peluang untuk menambah pendapatan.

“Kita juga sebenarnya agak ketinggalan dalam pembangunan pengangkutan awam bandar dan usaha kerajaan kini menunjukkan komitmen mereka yang mahu meringankan beban rakyat dengan menyediakan pengangkutan awam yang efisyen kerana di bandar-bandar besar seperti London, New York dan Tokyo, mereka sudah tidak memandu di dalam bandar lagi,” katanya semasa sidang media Analisa Bajet 2018 di sini hari ini.

Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita UKM, Datin Norizan Abdul Razak bercakap pada sidang media analisa bajet 2018 di UKM, Bangi. foto FAREEZ FADZIL, 28 OKTOBER 2017

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita UKM, Prof. Datin Norizan Abdul Razak berkata, Bajet 2018 memang “Ibu Segala Bajet” kerana ianya memberi tumpuan yang lebih kepada kaum wanita.

Ini menurut beliau membolehkan kaum wanita terutamanya golongan ibu mempunyai lebih masa bersama keluarga dan sekali gus dapat mengurangkan masalah sosial disebabkan kurangnya perhatian kepada anak-anak.

“Bajet 2018 sangat inklusif. Ia sangat berbeza dengan bajet-bajet sebelum ini yang walaupun tidak pernah meminggirkan wanita tetapi tidak begitu fokus.

“Saya rasa kerajaan memang mendengar keluhan rakyat daripada akar umbi terutamanya keluhan ibu-ibu yang terpaksa bekerja untuk menampung pendapatan keluarga tetapi dalam masa yang sama perlu memikul tugas di rumah, maka disediakan suatu penyelesaian yang fleksibel.

“Ia sangat inklusif sehingga isu pembantu rumah asing pun diselesaikan dengan memberi pelepasan untuk majikan mencari sendiri pembantu rumah di negara asal pembantu rumah tersebut.

“Ini membolehkan majikan berjimat sehingga beribu-ribu ringgit kerana kos pengambilan pembantu rumah asing sangat mahal,” katanya. – MalaysiaGazette