Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek.

KUALA LUMPUR – Bagi memastikan pelanggan tidak tertipu dengan promosi Musang King, satu aplikasi akan dibangunkan bagi mengenalpasti gred raja buah itu.

Sekiranya perancangan ini direalisasikan buah durian akan ditag dengan kod QR (Quick Response Code) dan pelanggan hanya perlu memeriksa buah itu menggunakan telefon pintar.

“Kami sedang berusaha untuk bangunkan aplikasi sebab setiap biji durian misalnya orang biasanya tak kenal yang Musang King, D24, Black Thorn, dianggap biasa. Tetapi bila harga berbeza orang nak sesuatu yang asli.

“Cadangannya ialah konsep mengenalpasti. Setiap buah kalau ada tag orang boleh guna telefon bimbitnya untuk bukan pengesanan guna QR code. Dari situ akan maklumkan durian tu datang dari mana,” jelas Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek.

Tambahnya, bagi menjayakan hasrat itu Jabatan Pertanian telah mendaftar 1.5 juta pokok durian dan 500,000 daripadanya adalah Musang King.

Ahmad Shabery berkata demikian selepas menyampaikan taklimat kepada usahawan yang akan menyertai Malaysia Durian Festival 2017 di Nanning, China.

Festival julung kali dianjurkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ini akan berlangsung pada 3 hingga 5 November hadapan.

Kira-kira 400 usahawan tempatan akan terlibat dengan sesi suai kenal perniagaan.

Selain 500 tan durian yang dibawa, pameran itu turut mempromosikan produk nanas, nangka dan sarang burung walit. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan