KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan diminta agar ‘duduk diam’ selepas bersara daripada pasukan keselamatan.

Perkara itu ditegaskan Presiden Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira), Mohd Ridzuan Abdullah apabila melihat Musa sekarang ini berlagak seperti ‘hero’ dalam mengutarakan isu berkaitan jenayah.

Menurutnya, sikap Musa yang cuba mengetengahkan aktiviti jenayah sembilan ketua penjenayah yang digelar ‘dragon’ boleh menimbulkan ketakutan kepada orang awam.

“Kenapa hari ini kata isu pelacuran, perjudian dan sebagainya dikawal oleh satu kumpulan. Tak logik bila keluar kenyataan yang tak sahih, tak jelas dan tak masuk akal,” katanya dalam satu sidang media di Johor Bahru.

Mengulas lanjut Ridzuan berkata, Musa tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana ia dibimbangi akan memakan dirinya sendiri setelah beliau tidak lagi berada di dalam pasukan Polis Diraja Malaysia.

Ridzuan berkata demikian mengulas mengenai rakaman video yang disiarkan laman portal pro pembangkang berhubung aktiviti satu kumpulan dikenali ‘9 Dragons’.

Pendedahan aktiviti kumpulan terbabit yang terlibat dengan kegiatan perjudian haram serta semua aktiviti tidak bermoral di negara ini sejak bertahun-tahun lamanya sebelum ini dibuat oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan disiarkan sebuah akhbar arus perdana.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan mendakwa, 9 Dragons telah lama bertapak di Malaysia dan kumpulan sindiket jenayah terbabit semuanya mempunyai kuasa di dalam agensi penguatkuasa di negara ini.

Dalam pada itu, Ridzuan turut menegur PPIM agar berhati-hati dalam membuat pendedahan seperti itu bagi mengelak diri mereka daripada menjadi mangsa kumpulan ganas 9 Dragons.

“Kita tidak mahu PPIM menjadi mangsa kumpulan ini. Sebelum ini ada anggota Mywatch jadi mangsa,” katanya yang menyingkap insiden serangan ke atas pengerusi sebuah NGO, R Sri Sanjeevan yang ditembak dua lelaki dalam kejadian di Jempol pada 2013. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. tanya zahid . semua ni dia tahu saja je dia buat lembu kenyang , dia tahu kalau buat sibuk akan kena nanti . . bukan syubhat tapi takut

Comments are closed.