Liow Tiong Lai
PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) harus mengamalkan prinsip “ada pinjam ada pulang” dalam pengagihan kerusi pilihan raya, kata Datuk Seri Liow Tiong Lai sambil menambah, pengagihan secara tidak saksama boleh mengundang perpecahan dalaman.
Presiden MCA itu berkata, Pengerusi BN telah menyatakan isu pengagihan kerusi tidak boleh disuarakan melalui meda.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan bagaimanapun menjelaskan bahawa isu pengagihan kerusi BN belum dibincangkan.
Mengenai tiga kerusi yang dipinjamkan MCA pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Tiong Lai berkata, jentera pilihan raya di Gelang Patah, Johor telah pun dimulakan oleh parti itu.
Beliau bagaimanapun tidak memberi ulasan mengenai dua lagi kerusi yang dipinjamkan iaitu Wangsa Maju di Kuala Lumpur dan Kuantan di Pahang.
Katanya seperti dipetik China Press, jumlah kerusi yang dipertandingkan setiap parti termasuk 40 kerusi Parlimen oleh MCA telah ditetapkan sejak awal, tetapi ruang untuk pertukaran kerusi masih wujud.
Menurutnya, kriteria pemilihan calon tidak terhad kepada faktor kemenangan di satu-satu kawasan semata-mata, tetapi ia harus mengambil kira kehendak rakyat dan juga mesej mengenai nilai utama BN yang mahu disampaikan kepada rakyat.
Ujarnya, nilai utama BN ialah saling menghormati, memelihara keharmonian dan perpaduan, serta memastikan konsensus dicapai. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.