KUALA LUMPUR – Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyerbu sebuah pusat hiburan malam di Selangor dan berjaya menahan lapan anggota polis yang berfoya-foya serta berlepak di situ.
Susulan pembongkaran anggota polis di Muar, Johor dan Ipoh, Perak berpesta dan menyalah guna dadah bersama ‘orang berlatar belakang kegiatan judi’ di kelab malam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun telah mengarahkan siasatan menyeluruh selain meningkatkan usaha membanteras tingkah laku anggota yang mencemarkan imej PDRM.
Dalam serbuan yang dilakukan pada pukul 1.30 pagi pada Sabtu, anggota dari Bukit Aman telah menahan 14 orang dalam satu bilik VIP di sebuah pusat hiburan malam.
Daripada jumlah tersebut, tujuh orang merupakan anggota polis manakala enam lagi merupakan saudara-mara atau rakan mereka.
Enam anggota polis yang ditahan, menurut laporan China Press, adalah bertugas di bahagian narkotik dalam salah satu ibu pejabat polis daerah (IPD) di Selangor.
Seorang lagi polis yang ditahan pula merupakan pemandu kepada seorang ketua IPD di Selangor.
Bukit Aman pada masa yang sama menahan seorang anggota polis yang berlepak di luar premis pusat hiburan, dia adalah anggota daripada bahagian Siasatan Jenayah Komersial di sebuah IPD.
Orang lain yang ditahan termasuk seorang pemandu bas pelancong, dua wanita yang bekerja di restoran, seorang suri rumah, seorang penganggur dan seorang warganegara Indonesia.
Pengendali pusat hiburan juga ditahan kerana walaupun premis tersebut berlesen, tetapi ia telah beroperasi melebihi waktu yang dibenarkan, iaitu pukul 12 tengah malam. – MalaysiaGazette