Beberapa guru Sek. Men. Keb. Datuk Haji Ahmad Said dilihat menunggu pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dihadapan sekolah yang dilanda banjir di Sg. Dua, Butterworth. foto SAFWAN MANSOR, 06 NOVEMBER 2017
PULAU PINANG – Pulau Pinang yang merupakan hab industri negara ini dianggarkan mengalami kerugian yang mencecah ratusan juta ringgit dalam banjir besar yang melanda negeri itu sejak malam Sabtu.
Banjir itu kebetulan juga berlaku pada akhir tahun di mana banyak kilang di Pulau Pinang berusaha menyiapkan tempahan sebelum tahun baharu.
Pengerusi Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia cawangan Pulau Pinang, Datuk Ooi Eng Hock berkata, walaupun Ahad sepatutnya merupakan hari rehat, tetapi banyak kilang telah menetapkannya sebagai hari kerja lebih masa.
Beliau berkata, malangnya, banyak kawasan telah ditenggelami air dan keadaan itu menyebabkan pekerja kilang juga tidak dapat bertugas pada hari tersebut.
“Kami tidak dapat menganggarkan lagi kerugian akibat kerosakan jentera yang digenangi air, tetapi masalah utama sekarang ialah pekerja tidak dapat datang bekerja kerana berlaku banjir di jalan-jalan.
“Pengilang tidak berdaya melakukan apa-apa kerana ini adalah kejadian di luar kawalan,” katanya kepada Sinchew Daily.
Sebelum ini, Eng Hock telah mengeluarkan kenyataan membidas Jabatan Meteorologi yang memberi amaran mengenai cuaca luar biasa pada pukul 9.30 malam pada Sabtu.
“Hujan telah turun sejak pagi, tetapi Jabatan Meteorologi hanya mengeluarkan amaran pada pukul 9.30 malam. Apa gunanya amaran cuaca ini?
“Takkan peralatan yang digunakan adalah begitu ketinggalan zaman, sehingga tidak dapat membuat ramalan cuaca secara tepat?”
Eng Hock yang menghadiri satu majlis pada Sabtu bersama para tetamu khas juga mendedahkan bahawa kereta Duta Vietnam ke Malaysia turut terperangkap dalam banjir di Pulau Pinang.
Banjir paling kritikal di Pulau Pinang itu dilaporkan telah meragut empat nyawa dan Kerajaan Persekutuan telah menghantar anggota tentera ke negeri itu untuk menyelamat dan memindahkan mangsa banjir. – MalaysiaGazette