Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (empat kiri) menyampaikan Anugerah Inovasi Perdana Menteri 2017 kepada Pengarah Komersial dan Pengurusan Tanah MRT Corp, Datuk Haris Fadzilah (tiga kiri), Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar (tiga kanan) dan Pengarah Komunikasi Strategik MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah (dua kanan) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 07 NOVEMBER 2017

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan setiap agensi kerajaan menubuhkan Pusat Inovasi Nilai (VIC) bagi mempercepatkan proses penjanaan idea-idea baharu untuk diketengahkan ke peringkat Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Beliau yang kagum dengan kejayaan Samsung Electronics, berkata syarikat elektronik terkemuka dunia yang diasaskan di Korea Selatan itu sentiasa memperkenalkan idea dan produk yang inovatif dan berkualiti melalui VIC yang ditubuhkan di setiap cawangannya.

Beliau berkata jenama Samsung menjadi ikonik kepada Korea Selatan dan menakluki dunia dengan menguasai sebahagian besar segmen barangan elektronik seperti telefon pintar, televisyen berteknologi tinggi, mesin basuh dan ?electronic board’ seperti yang digunakan di Stadium Nasional Buikit Jalil.

“Saya berpendapat VIC boleh menjadi template dalam kerajaan. Dengan ini, selaras dengan konsep NBOS, VIC ini boleh dianggap sebagai inovasi baharu yang akan berlaku dengan lebih meluas dan pantas” katanya pada Majlis Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) 2017 di sini, malam ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata sebagai pelengkap kepada idea penubuhan VIC, fungsi dan peranan Unit Inovasi sedia ada juga perlu dimantapkan dengan pewujudan jawatan Ketua Pegawai Inovasi di setiap kementerian atau jabatan.

Beliau berkata Ketua Pegawai Inovasi itu akan memainkan peranan yang penting dalam menggerakkan agenda inovasi sektor awam secara lebih berstruktur dan terancang.

Najib turut meminta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) untuk menerajui inisiatif berpacukan data dengan semua kementerian dan jabatan memberikan kerjasama kepada usaha tersebut.

Menurutnya, Open Data Institute (ODI) dan Nesta Innovation Foundation di United Kingdom melaporkan pelaksanaan inisiatif data terbuka telah menyumbang kepada pengukuhan ekonomi dan memberi impak kepada kluster sosial.

“Malaysia perlu menyemarakkan lagi inovasi berpacukan data untuk mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan berpaksikan rakyat,” katanya.

Perdana menteri turut meminta penjawat awam lebih kreatif dan inovatif dalam mencari penyelesaian merentasi kelaziman berteraskan teknologi yang merupakan pencetus perubahan bagi merangsang pembangunan negara dalam menghadapi kemunculan gelombang Revolusi Industri 4.0.

Najib berkata data merupakan aset yang tidak ternilai harganya dalam menghasilkan pelbagai produk data berdasarkan kreativiti dan inovasi

“Produk data ini bukan sahaja dapat menjana pertumbuhan ekonomi negara malah menjadi pemangkin dalam merintis penciptaan nilai demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Majlis bertemakan ‘Inovasi Menunjangi Aspirasi TN50’ anjuran MAMPU itu adalah sebagai galakan dan pengiktirafan terhadap usaha-usaha pencapaian inovasi kecemerlangan organisasi sektor awam.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Zainal Rahim Seman dan Ketua Pengarah Mampu Datuk Dr Mazlan Yusoff.

Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) melalui projek Ikonografi Tadbir Urus Pengurusan Projek Ideal dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama AIPM 2017 sekaligus membawa pulang hadiah RM1 juta.

Tempat kedua dimenangi Kementerian Pendidikan Tinggi menerusi inisiatif Soaring Upwards: Memartabatkan Sistem Pendidikan Tinggi Negara di Persada Global dan tempat ketiga dimenangi Kementerian Pendidikan dan Yayasan AMIR melalui program Sekolah Amanah Melengkapi Transformasi Pendidikan Negara.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima wang tunai RM300,000 dan RM200,000 berserta sijil. – BERNAMA