KUALA LUMPUR – Pelakon Mawar Rashid hari ini sah menjadi isteri selepas bernikah dengan Raden Ahmad Faizal Yaakob hanya dengan sekali lafaz.

Majlis pernikahan pelakon drama Suamiku Paling Sweet itu berlangsung di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur pada pukul 3.20 petang tadi, lapor sebuah laman portal.

Mawar, 22, dan Raden atau lebih dikenali sebagai Raf Yaakob, 32, dinikahkan oleh Iman Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq Bangsar iaitu Mohamad Azri Ahmad Kamil.

Pada upacara itu juga Raf menyerahkan RM900 sebagai mas kahwin manakala, wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.

Seramai 300 tetamu menjadi saksi pada upacara pernikahan itu.

Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 7 Julai lalu sebagai memperingati tarikh ulang tahun kelahiran arwah bapa Raf iaitu Datuk Yaakob Mohammad.

Raf yang juga adik kepada penyanyi Datuk Fazley Yaakob terlebih dahulu menghantar rombongan merisik pada bulan Mei. – MalaysiaGazette