BNM

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Dasar Monetari, Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada tiga peratus dengan jangkaan pertumbuhan Malaysia kekal kukuh pada 2018 disokong kestabilan ekonomi global.

Dalam kenyataannya di sini hari ini, BNM berkata, pada paras utama semasa, kedudukan dasar monetari negara masih akomodatif.

“Kedua-dua sektor domestik dan luaran kekal mencatatkan prestasi kukuh.

“Momentum pertumbuhan disokong oleh limpahan daripada sektor luaran ke dalam ekonomi domestik apabila syarikat-syarikat mula melabur dalam kapasiti yang produktif, menaikkan gaji dan mengupah lebih ramai pekerja,” katanya.

Permintaan domestik dijangka kekal sebagai sumber utama pertumbuhan bagi 2018 dengan penggunaan swasta kekal menjadi pemacu pertumbuhan paling besar disokong oleh pendapatan yang semakin baik serta situasi pasaran pekerjaan secara menyeluruh.

Tambah BNM, pelaburan akan dikekalkan oleh projek-projek infrastruktur dan pelaburan modal besar dalam sektor pengilangan dan perkhidmatan.

Dalam pada itu, inflasi bagi keseluruhan 2017 dijangka berada di julat tertinggi unjuran selepas inflasi September meningkat kepada 4.3 peratus.

Ini didorong oleh peningkatan harga global minyak bertapis yang disebabkan oleh gangguan dalam bekalan global.

“Melangkah masuk ke 2018, kadar inflasi diunjur menyederhana dengan jangkaan kesan kos global menjadi lebih kecil.

“Bagaimanapun, ianya masih bergantung kepada harga minyak global yang masih kekal tidak menentu,” katanya lagi.-MalaysiaGazette