KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) dilihat akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) pada Januari depan.

Jangkaan tersebut menurut nota penyelidikan Standard Chartered adalah disebabkan kenyataan yang dikeluarkan oleh BNM semalam.

“BNM menyatakan kecenderungannya untuk menaikkan OPR selepas mengadakan mesyuarat dasar monetari terbaharunya, semalam.

“Dalam kenyataan tersebut BNM ada menyebut ‘Jawatankuasa Dasar Monetari’ mungkin mempertimbangkan untuk menyemak semula kedudukan semasa kadar OPR.

“Kami ketika ini menjangkakan BNM akan menaikkan kadar faedah pada Januari ini didorong oleh “hawkish intent”,” katanya di sini hari ini.

Tambah Standard Chartered, langkah tersebut dijangka tidak meningkatkan inflasi yang menjejaskan kestabilan jangka sederhana Malaysia.

“Kami juga tidak menjangkakan bahawa ini adalah permulaan bagi pusingan kenaikan.

“Hakikatnya, kami berpendapat sekiranya BNM tidak mahu menaikkan kadar OPR pada Januari, momentum pertumbuhan yang berkurangan juga akan mengelakkan sebarang kenaikan pada 2018,” katanya.-MalaysiaGazette