Kuala Lumpur – Malaysia, Colombia, Nigeria, Rusia dan Arab Saudi merupakan negara yang paling banyak mendapat manfaat daripada pemulihan kukuh harga minyak dunia yang sebelum ini pernah jatuh ke paras AS$44 setong pada Jun.

Dalam laporannya hari ini, Nomura Global Research berkata, penilaian terhadap pemulihan harga minyak adalah berasaskan kedudukan permulaan bagi fundamental ekonomi setiap negara, skop maklum balas dasar dan beberapa faktor lain.

Laporan tersebut turut menunjukan Brazil dan Venezuela turut mendapat keuntungan besar sementara Republik Czech, Hong Kong, Hungary, Israel, Korea Selatan, Mexico, Poland, Romania dan Singapura menerima impak neutral.

Manakala negara-negara yang rugi adalah Argentina, Chile, China, Mesir, Indonesia, Peru, Afrika Selatan dan Thailand.

India, Filipina dan Turki adalah negara yang paling rugi.

“Sukar untuk menghuraikan berapa banyak kenaikan ini kerana ia berdasarkan peningkatan permintaan contohnya pertumbuhan global, bekalan yang terhad berikutan ketegasan OPEC mengurangkan kuota serta penurunan pengeluaran minyak syil AS serta ketegangan geopolitik di Asia Barat,” kara laporan tersebut.

Tambah Nomura Research, impak ekonomi juga sukar untuk diukur kerana ia bergantung bukan sahaja kepada saiz malah tempoh harga tersebut berada di paras tinggi. – MalaysiaGazette