Isu berkaitan ibadat haji yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu telah menimbulkan banyak spekulasi dari orang ramai.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – TH Properties Sdn. Bhd. (THP), anak syarikat Tabung Haji menafikan syarikat itu terlibat dalam kegiatan mengubah wang haram milik Putera Al-Waleed bin Talal.

Dalam kenyataannya, THP berkata, ia memang mempunyai beberapa pelaburan dengan Piety Group yang kononnya menerima pelaburan daripada putera Arab Saudi itu.

THP menjalankan beberapa projek pembangunan kediaman di Sydney dengan Peity Group bagaimanapun kesemua pelaburan tersebut dibuat secara langsung mengggunakan dana dalaman syarikat.

Syarikat pembangunan hartanah milik Tabung Haji itu menegaskan, ia tidak pernah memohon atau memperolehi sebarang dana atau sumbangan daripada Crestmount Capital atau mana-mana pelabur asing.

Ia juga telah mendapat semua kelulusan pihak berkuasa Malaysia dan Australia untuk projek-projek di Sydney.

“THP juga tidak mempunyai sebarang maklumat atau pengetahuan tentang urusan serta hubungan (jika ada) di antara Crestmount Capital dan Piety Group.

“Tuduhan bahawa dana dari Crestmount Capital telah tercemar merupakan tanggapan persendirian pengamal media sosial berkenaan dan beliau seharusnya bertanggungjawab ke atas tuduhan tersebut,” katanya.

Menurut THP, tuduhan itu dipercayai berdasarkan sebuah laporan dari “Australia Financial Review” pada Mac lalu menyatakan sebuah dana dari Asia Barat, Cresmount Capital yang dikendalikan oleh Putera Khaleed, anak Putera Al-Waleed bin Talal dikatakan telah membuat pelaburan sejumlah A$100 juta ke dalam sebuah syarikat pemaju hartanah di Sydney, Piety Investments.

“Dakwaan tentang penglibatan TH dan anak syarikatnya dalam pengubahan wang haram adalah tidak berasas dan palsu sama sekali.

“TH dan anak syarikatnya berpegang kepada hak untuk mengambil tindakan selanjutnya dalam perkara ini.

“Sebagai sebuah organisasi yang bertanggung jawab terhadap pendepositnya, Kumpulan TH memandang serius tuduhan palsu tersebut yang boleh membawa reputasi buruk serta bakal menimbulkan kerisauan dalam kalangan pendeposit,” tegasnya. – MalaysiaGazette